KENALI NAMA ALLAH : AL-LATIF



Mari kita kenali salah satu Asmaul Husna (nama2 Allah) iaitu Al Latif, yang ada di dalam Al Quran. Asmaul Husna bukan sahaja untuk dihafal nama2Nya, tapi tujuan utamanya untuk kita kenali Allah dan apakah kesan kepada diri kita, bila kita semakin kenal dengan nama-nama Allah.

Hari ini kita nak sharing Pengajaran dan Peringatan untuk kita semua Asmaul Husna - Allah Al Latiff.

Allah Al-Latif adalah Zat Yang Maha Halus dan Maha Lembut. Allah SWT Ya Latiff amat berlemah lembut terhadap hamba-Nya yang sentiasa taat, sehingga tidak tercapai dengan akal untuk digambarkan oleh makhluk sendiri.

Allah menggambarkan sifatNya Al Latif ini dalam Surah Yusuf iaitu dalam ayat ke-100:

💌 TERJEMAHAN :

"Dan dia menaikkan kedua ibu-bapanya ke atas singgahsana. Dan mereka (semuanya) merebahkan diri seraya sujud kepada Yusuf. Dan berkata Yusuf: “Wahai ayahku inilah tafsiran mimpiku yang dahulu itu,

Sesungguhnya Tuhanku telah menjadikannya suatu kenyataan. Dan sesungguhnya Tuhanku telah berbuat baik kepadaku, ketika Dia membebaskan aku dari penjara dan ketika membawa kamu dari dusun padang pasir, setelah syaitan merosakkan (hubungan) antaraku dan saudara-saudaraku.

Sesungguhnya Tuhanku MAHA LEMBUT terhadap apa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

Dari kisah Nabi Yusuf ini berkait rapat dengan sifat Al Latif:
 
🍃 Nabi Yusuf dibuang dalam perigi : Ujian yang keras, tetapi permulaan kepada jalan takdir.

🍃 Beliau dijual sebagai hamba : Disangka kehinaan, tetapi membuka jalan ke istana.

🍃Difitnah & dipenjarakan : Kelihatan seperti kegagalan, tetapi di situlah Yusuf belajar hikmah dan diberi peluang mentafsir mimpi.
 
🍃 Akhirnya diangkat sebagai menteri Mesir : Bukti bahawa Allah sedang mengatur sesuatu yang besar secara halus dan lembut.

- Allah dengan penuh kelembutan dan hikmah mengatur peristiwa hidup Nabi Yusuf dari kesusahan kepada kemuliaan dengan cara yang tidak disedari oleh makhluk pada awalnya.

- Nabi Yusuf Sabar dan Redha dalam setiap ujian yang diberikan padanya. Jadi bagaimana pula kita? 

🤍Jom check diri kita… kurangnya bersyukur kita hari ni kan…? Kita selalu nampak rasa seperti tidak cukup je… itulah sebabnya urusan kita semakin hari semakin sulit. 

🤍Allah sentiasa menguji hambanya samada dalam kesenangan atau kesusahan.. berbanding dengan ujian Nabi Yusuf. Kita pula banyak mempersoalkan , tidak sabar dan tidak redha kan. 

🤍Hari ini, mesti ramai yang diuji macam-macam kan… kita ajar diri kita untuk Syukur, Sabar dan Redha.. Banyakkan berdoa dan Jangan mudah berputus asa, kerana setiap kesusahan mungkin adalah laluan kepada sesuatu yang lebih baik.

🌸 Pengajaran & Kesan Beriman dengan Al-Latif

  1.  Meyakini Allah Maha Mengetahui dengan penuh halus dan lembut.
  2.  Bersangka baik dengan ketentuan Allah.
  3.  Berdoa dan memohon dengan penuh harapan.
  4. Menjadi insan yang lemah lembut dalam pergaulan.
  5.  Sabar atas ujian dan yakin bantuan Allah sangat halus.

WallahuAlam

#AsmaulHusna
#AlLatif
#MahaLembut

Comments